Lesap RM343,203 angkara skim pelaburan cepat kaya
Sinar Harian
Februari 26, 2022 15:38 MYT
Februari 26, 2022 15:38 MYT
KUANTAN: Seorang peniaga kedai makan terpaksa membuat laporan polis bagi menuntut kembali wang modal lebih RM343,000 dari skim pelaburan yang disertai setelah 'penganjur' gagal membuat bayaran keuntungan seperti dijanjikan.
Mangsa berusia 28 tahun menyertai skim pelaburan yang dijalankan seorang wanita itu tahun lalu selepas tertarik dengan jaminan keuntungan 50 peratus yang akan dibayar pada setiap 15 hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa juga diyakinkan bahawa pelaburan itu selamat selepas wanita tersebut memberi jaminan akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kerugian ke atas pelabur.
Menurutnya, selain itu keputusan mangsa menyertai pelaburan itu turut didorong dengan penampilan menarik ditunjukkan wanita tersebut yang sering tampil dengan kereta mewahnya.
"Pada Oktober tahun lalu, mangsa berurusan dengan wanita tersebut untuk maklumat lanjut tentang pelaburan yang didakwa menjalankan perdagangan di bursa saham.
"Walaupun penjelasan diberikan kurang jelas dan mangsa sendiri kurang memahaminya namun kerana keuntungan lumayan yang dijanjikan dia bersetuju untuk menyertainya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Wazir berkata, mangsa telah melabur lebih RM72,000 untuk membuka 175 akaun di mana setiap satunya berharga RM413.
"Mangsa dijanjikan keuntungan RM40 sehari bagi setiap akaun tersebut.
"Hasilnya pelaburan permulaannya itu, mangsa mendapat keuntungan RM35,200 bagi setiap pusingan," katanya.
Beliau berkata, demi mendapatkan lebih banyak keuntungan, mangsa telah menambah pelaburan dengan membuka 655 akaun lagi secara berperingkat melibatkan jumlah pelaburan RM343,203.
"Dalam tempoh beberapa minggu, mangsa telah dibayar dengan sejumlah wang seperti yang dijanjikan namun pembayaran mula dilambatkan dan tidak mengikut perjanjian yang asal.
"Kira-kira tiga bulan kebelakangan ini, mangsa mendakwa langsung tidak menerima wang keuntungan daripada pelaburan tersebut," katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa juga mula curiga apabila beberapa akaun pelaburannya tidak diberi tarikh untuk dikembalikan modal pelaburan.
"Setelah diminta, wanita itu didakwa memberi pelbagai alasan dan enggan untuk membayar semula modal mangsa dengan alasan turut menanggung kerugian tanpa menunjukkan sebarang bukti.
"Mangsa juga diugut akaun pelaburan sedia ada akan ditamatkan serta-merta jika tidak meneruskan pembayaran seperti yang diminta hingga menimbulkan kebimbangan," katanya.
Beliau berkata, mangsa mendakwa wanita itu juga enggan berunding malah beberapa kali mengeluarkan syarat baharu.
"Mangsa dan pelabur lain diminta membuat bayaran modal baharu sekiranya mahu akaun mereka berjalan seperti biasa semula.
"Setiap akaun induk dikehendaki buka lima akaun baharu berharga RM2,065.
"Mangsa yang mempunyai enam akaun induk tidak bersetuju dengan syarat yang diberikan dan cukup terkesan kerana semua wang simpanan telah dilaburkan sehingga tidak mampu untuk membayar komitmen bulanan yang lain," katanya.
Mohd Wazir berkata, syak telah tertipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Temerloh pada Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
*Berita asal di Sinar Harian