Lesap lebih RM3,000 digodam pembeli di laman web jual beli tempatan
Sinar Harian
Julai 18, 2024 10:00 MYT
Julai 18, 2024 10:00 MYT
SHAH ALAM: Seorang wanita berputih mata apabila wang simpanan bernilai RM3,373 dalam akaun bank dikebas pembeli menerusi sebuah laman web jual beli barang terpakai tempatan terkenal.
Sarina Mohd Som, 46, berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas setelah dia menekan satu pautan menerusi e-mel yang kononnya dihantar oleh laman sesawang tersebut.
"Saya reda dengan apa yang berlaku, mungkin ada pihak yang lihat saya cuai namun kejadian itu tidak dapat dijangka kerana e-mel tersebut diterima seakan daripada laman web jual beli tempatan terkenal berkenaan.
"Saya yakin scammer licik menggodam laman web tersebut dan bank bagi memperdaya saya sebagai penjual. Urus niaga ini bukan pertama kali, saya dan anak sulung selalu guna untuk menjual barangan terpakai," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut wanita yang bekerja sendiri itu, pada mulanya dia mendapat e-mel daripada laman web jual beli berkenaan menyatakan barangan yang dijual sudah ada pembeli.
Ujarnya, kemudian dia dikehendaki menekan pautan yang diberi dan memilih bank untuk proses urus niaga.
"Saya masukkan nama bank dan nombor akaun, anak saya cuba log masuk namun tidak berjaya. Tidak sampai satu saat, saya mendapat notifikasi 'Transaksi telah dibuat ke akaun ketiga' tanpa menerima sebarang nombor TAC atau makluman lain.
"Apabila membuat semakan baki dalam akaun bank hanya RM100 yang ada. Pembeli lesap sudah tidak dapat dihubungi dan saya telah disekat. Saya terus ke balai polis untuk buat laporan, dan hubungi bank untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Buat orang ramai di luar sana, ibu kepada tiga anak itu berpesan agar tidak menekan sebarang pautan yang mencurigakan terutama melibatkan bank.
Ujar Sarina, 'scammer' kini semakin licik menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan wang dengan mudah.
"Hati-hati, 'scammer' semakin licik, pelbagai cara dan kaedah mereka gunakan untuk sedut duit kita. Tidak lagi dengan cara menghubungi menyamar sebagai pihak berkuasa, tetapi lebih bijak dalam keadaan tidak disangka," katanya. - Sinar Harian