Lepas tiga bulan, warga emas baru sedar wang simpanan RM682,000 lesap

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 2, 2020 07:30 MYT
Seorang wanita hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan Macau Scam berjumlah RM682,000 selepas tiga bulan. -Gambar hiasan
Hanya selepas tiga bulan, seorang bekas kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan Macau Scam apabila wang simpanannya berjumlah RM682,000 lesap.
Wanita berusia 69 tahun itu yang tampil membuat laporan polis mendakwa dia terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat 'Sarjan' dan juga 'pegawai Bank Negara'.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku pada awal Mac lalu selepas mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang 'anggota polis berpangkat Asisten Komisioner' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.
Mangsa dimaklumkan bahawa polis sedang menyiasat kes pendaftaran judi online haram menggunakan namanya.
Panggilan kemudian disambung kepada seorang lagi 'anggota polis berpangkat sarjan' yang sedang menyiasat kes mangsa.
'Anggota polis' itu kemudian meminta mangsa berurusan dengan seorang 'pegawai Bank Negara' yang akan menghubunginya untuk siasatan lanjut.
“Selepas bercakap dengan 'anggota polis' itu, mangsa mendapat panggilan dari 'pegawai Bank Negara' yang meminta mangsa memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam satu akaun untuk memudahkan siasatan.
“Mangsa diminta segera melakukan urusan pemindahan wang itu atau ditangkap dan direman,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Jelasnya, mangsa selepas itu diminta sentiasa mengangkat panggilan daripada pegawai bank berkenaan setiap hari dan memberikan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbitnya sehingga perkara itu berlarutan sekitar 27 Mei lalu.
“Mangsa menyedari ditipu selepas tidak lagi menerima panggilan telefon dari pegawai Bank Negara sejak 28 Mei hingga semalam," ujarnya.
Mangsa kemudiannya menghubungi pihak bank untuk bertanyakan baki amaun wang di dalam akaunnya.
Dia terkejut sebaik dimaklumkan bahawa terdapat pengeluaran wang dibuat sejak tiga bulan lalu.
Noorzainy berkata mangsa kemudian membuat laporan polis pada Selasa dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
#dalam talian #Macau Scam #mangsa tipu #MBPP #online #PDRM #penipuan #polis #sindiket
;