'Lepas Maghrib, mereka berkeliaran di tanah kubur...'

Astro Awani
Februari 12, 2018 06:12 MYT
Haiwan berkenaan telah menjadikan tanah perkuburan sebagai 'habitat' baru mereka.
Jumlah anjing liar yang semakin meningkat sejak sepuluh tahun lalu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di bandar Paka, dekat Dungun, Terengganu.
Haiwan berkenaan yang menjadikan tanah perkuburan sebagai 'habitat' baru mereka itu turut mengancam keselamatan penduduk.
Tinjauan Astro AWANI di tanah perkuburan mukim Kuala Paka, Kampung Limbong mendapati, sebahagian kubur itu juga telah dirosakkan anjing-anjing liar terbabit.
"Kita nampak ada anjing-anjing liar yang macam menggali atas kubur, tidak tahu apa yang dicari, ada yang beranak atas kubur dan ada yang mencari makanan," kata penduduk setempat, Zakaria Embong.
Menurut seorang lagi penduduk, Mohd Asri Ghani, anjing-anjing liar itu boleh dilihat berkeliaran di kawasan kubur selepas waktu Maghirib.
"Kalau lepas Maghrib boleh tengok anjing-anjing liar di kawasan kubur itu. Kalau nak atasinya tidak ada cara lain melainkan tembak sebab ini anjing liar," katanya.
Namun hingga setakat ini, anjing-anjing liar itu tidak pernah menyerang penduduk setempat.
"Tetapi biarpun belum ada lagi kes serang orang ramai, kebimbangan kami penduduk kampung ini tetap ada," kata seorang lagi penduduk, Zuliazman Ali.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras UMNO Dun Paka , Tengku Hamzah Tengku Deraman berkata isu berkenaan akan ditangani segera.
"Kita akan berbincang dengan pihak PBT dan juga vaterinar dan perkara ini perlu ada satu operasi sama ada kita perlu pelalikan anjing dan pindah ke tempat lain atau guna kaedah-kaedah lain," katanya.
Beliau berharap penduduk bersabar dan tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelak sebarang kejadian buruk.
#anjing liar #bimbang #Dungun #kubur #Malaysia #mayat #Paka #terengganu
;