Lenyapnya tasik merah jambu
Sinar Harian
November 7, 2022 11:00 MYT
November 7, 2022 11:00 MYT
RUFISQUE: Maguette Ndiour berdiri di tebing Tasik Retba atau Lac Rose yang merupakan tasik merah jambu terkenal di Senegal sambil menunjukkan sekumpulan lelaki yang sedang mengumpulkan baki timbunan garam di bawah terik matahari.
"Hanya baki 200 tan garam yang kami dapat kumpulkan ketika paras air banjir semakin meningkat. Kami akan menjualnya dalam tempoh dua bulan sebelum tasik itu lenyap sepenuhnya," kata Ndiour yang merupakan ketua persatuan pengumpul garam buatan.
Menurutnya, proses penghasilan garam dijangka mengambil masa sehingga empat tahun sebelum dapat dituai.
Hujan lebat luar biasa yang dikaitkan dengan fenomena perubahan iklim telah memberi impak besar kepada tasik merah jambu yang terletak kira-kira 40 kilometer di timur laut ibu kota Dakar yang turut menjadi tarikan utama pelancong.
Tasik cetek yang terpisah dari Atlantik oleh permatang pasir yang sempit itu mengandungi garam mineral yang tinggi seperti Laut Mati selain menjadi sumber pendapatan kepada penduduk setempat.
Ketika musim hujan mencapai kemuncak pada Ogos lalu, paras tasik itu telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding kedalaman biasa sekitar enam meter.
Pelombong garam memasukkan baki mineral yang berjaya dikumpulkan untuk dieksport ke negara jiran.
Pelombong garam memasukkan baki mineral yang berjaya dikumpulkan untuk dieksport ke negara jiran.
Keadaan itu telah 'melenyapkan' kira-kira 7,000 tan garam yang masih belum dituai sekali gus mengakibatkan kerugian berjumlah hampir suku juta dolar. -Sinar Harian