Lenyap kebencian, jangan dustai nikmat keamanan

Madiha Abdullah
April 6, 2024 22:00 MYT
#MZB365 merupakan gerakan bersama lima media tempatan yang dipelopori gabungan NGO dan CSO. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia disaran agar mengingati kekuatan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail berkata, rakyat Malaysia harus melenyapkan kebencian, memperkukuh kefahaman serta hormat-menghormati selain tidak mendustai nikmat kedamaian yang dikecapi.
"Kita pernah menjadi saksi luka-luka konflik dan peperangan di negara-negara di garisan krisis. Senario itu sesuatu yang asing jika dibandingkan dengan Malaysia.
"Kesatuan serta muafakat dalam kepelbagaian budaya dan bangsa menjadi ramuan tertegaknya ‘tiang seri’ kedamaian dan kesejahteraan Malaysia," katanya dalam reaksi kempen #MZB365 pada Sabtu.
#MZB365 merupakan gerakan bersama lima media tempatan yang dipelopori gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, kempen boikot yang dilancarkan sesetengah pihak tidak sepatutnya berpanjangan sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengakibatkan perpecahan kaum di negara ini.
"Ini adalah tanah air kita, di mana tempat kita berpijak, membina keluarga, bersahabat dan bersaudara.
"Kita mungkin berbeza agama, kaum, budaya dan bahasa tetapi perbezaan inilah keunikan serta kekuatan menjadikan #KitaLahMalaysia.
"Jangan biarkan teknologi dan laman sosial membakar keharmonian rakyat Malaysia dan seharusnya kita yang menguasai laman sosial, bukan sebaliknya. Marilah kita bersama menjadi ejen Malaysia Harmoni," ujarnya.
#KitaLahMalaysia #membina keluarga #Malaysia Harmoni #tindakan ekstrem
;