Lenjan artis kerja 20 jam...?

Kenyataan Media
Januari 4, 2023 11:20 MYT
Teguran itu dibuat oleh Presiden PTVM Datuk Jurey Latiff Rosli. - Foto Instagram/jureyrosli
MERUJUK saranan Sharnaaz Ahamd dan kenyataan media CEO Finas.
Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) ingin menegur sikap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang bagaikan tidak memahami masalah sebenar industri dalam membuat kenyataan berkenaan isu-isu yang dibangkitkan industri penerbitan TV.
Akta 244 Finas mengawal selia industri perfileman dengan semua syarikat penerbitan diwajibkan mempunyai lesen penerbitan bagi menerbitkan program TV tempatan.
Manakala Akta Kerja 1955 ( Pindaan ) 2022 yang melibatkan semua sektor pekerjaan termasuk sektor industri kreatif. Sebagai syarikat yang berdaftar dibawah Akta Syarikat 2016 sudah tentu setiap syarikat penerbitan TV diurustadbir dengan baik dan mengikut lunas undang-undang negara Malaysia.
Isu yang dibangkitan oleh pelakon Sharnaaz Ahmad perlu dilihat dalam konteks kenapa ianya berlaku?
Sebagai agensi yang bertanggungjawab FINAS perlu memandang berat supaya ianya dapat dikenalpasti puncanya lalu mencari penyelesaian bukan hanya mengeluarkan kenyataan umpama melepas batuk di
tangga.
Perkara ini sudah berlarutan sekian lama tanpa diambil sebarang tindakan proaktif.
PTVM telah mengenalpasti banyak masalah industri yang tiada penyelesaian kerana setiap kali bertukarnya kepimpinan FINAS, industri perlu datang memberikan taklimat supaya Ketua Pengawai Eksekutif faham dan mengambil tindakan sewajarnya.
Perkara ini melibatkan ekosistem yang tidak pernah diujudkan oleh agensi yang sepatutnya bertanggungjawab walaupun FINAS telah ditubuhkan pada 12 Feb 1981 dan industri TV swasta telah diujudkan sejak tertubuhnya TV3 dan RTM membuka slot program swasta pada tahun 1984.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS sepatutnya dilantik dikalangan profesional berkelayakan sama ada lantikan dalaman atau luaran, berpengalaman melalui temuduga terbuka bukan lantikan politik semata.
Industri menerima padah apabila Ketua Pegawai Eksekutif adalah lantikan politik yang sering bertukar, kurang memahami industri dan tiada memberikan tumpuan dalam menentukan halatuju FINAS.
Akhirnya tumpuan Ketua Pegawai Eksekutif lebih kepada agenda mempromosikan diri dengan merasmikan program dan terlibat dalam aktiviti politik lalu meninggalkan kerja hakiki.
Baca akta 244 FINAS untuk lebih jelas peranan Ketua Pegawai Eksekutif dan fungsi FINAS yang sebenarnya.
Isu besar industri yang melibatkan syarikat penerbitan seperti kos semakin meningkat sehingga syarikat mendapat margin yang sangat rendah, kadar bayaran stesen TV yang masih rendah, artis dipilih stesen TV dan terlalu mahal, artis ambil kerja bertindih, artis datang lambat, artis lari tinggalkan set, produser tidak bayar artis dan krew, artis dan krew dilenjan di set dan banyak lagi isu yang berlarutan sekian lama seolah tidak pernah diselesaikan oleh FINAS.
Ini adalah hakikat sebenar industri yang perlu diberikan perhatian segera oleh YB Tuan Fahmi Fadzil Menteri KKD.
Berapa lama lagi industri perlu lalui segala cacamarba dan ketidakadilan akibat ketidaksempurnaan sistem?
Datuk Jurey Latiff Rosli
Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM)
#PTVM #FINAS #Jurey Latiff Rosli #artis
;