Lengkapkan sistem pendidikan dengan pengetahuan alam pekerjaan - Devamany
Astro Awani
Oktober 28, 2017 15:00 MYT
Oktober 28, 2017 15:00 MYT
Sistem pendidikan di sekolah perlu melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan didikan untuk menepati keperluan pekerjaan selepas tamat pengajian.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany berkata, ia platform penting dunia pendidikan ke arah daya saing dalam dunia kerjaya.
Jelasnya, paling penting ibu bapa tahu hala tuju pendidikan anak masing-masing selain peluang yang ditawarkan kerajaan.
"Ibu bapa kena selalu berdepan kaunselor sekolah, ada pelajar yang gagal tetapi mereka perlu tahu kerajaan ada tawarkan kursus kemahiran percuma. Ada koleh komuniti Mara dan macam-macam lagi," katanya semasa ditemui selepas merasmikan Majlis Diskusi PIBG, membina sinergi antara ibu bapa, sekolah, guru dan pelajar ke arah TN50 di sini hari ini.
Ia dianjurkan Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (Pcore)
Dalam pada itu jelasnya, keperluan pendidikan itu juga perlu sentiasa berubah dan perisian sistem pendisikan perlu dinamis untuk memastikan ia mengikut edaran zaman.
"Penyajian sistem pendidikan dan pembelajaran yang dinamis bukan sahaja merupakan tugas pihak kerajaan, Kementerian Pendidikan, sekolah dan guru.
"Pendidikan dan pembelajaran yang berkesan, yang berupaya menghasilkan pelajar yang berdaya saing, berilmu, berakhlak dan berkemahiran memerlukan kerjasama padu semua pihak termasuk golongan ibu bapa," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (Pcore) Datuk Halimah Mohd Said berkata sinergi atau hubungan kerjasama antara ibubapa, sekolah, guru dan pelajar amat penting untuk menghasilkan persekitaran atau ekosistem pendidikan dan pembelajaran yang bermutu tinggi.
"Kalau ibu bapa tidak terlibat dalam rumah tangga maknanya anak-anak mereka akan terbiar.
"Ibu bapa perlu dibangkitkan dengan PIBG dan struktur tersusun sekolah berkenaan dan kerjasama pejabat pelajaran," katanya.
Ujarnya, PIBG sekolah perlu diperkasakan supaya dapat memainkan peranan yang lebih bermakna dalam menjalin dan memperkukuhkan hubungan antara ibu bapa, sekolah, guru dan pelajar.
Katanya, ia sekali gus bakal memberi impak yang besar ke atas pembangunan pendidikan negara.
#Bajet 2018
#kemahiran
#Kementerian Pendidikan
#MARA
#pelajar
#SK Devamany
#Transformasi Nasional 2050