Lengkap vaksinasi: Kelonggaran perlu dibuat berhati-hati - Pakar
Harits Asyraf Hasnan
Julai 25, 2021 18:37 MYT
Julai 25, 2021 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kelonggaran kepada individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 perlu dibuat dengan berhati-hati.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli berkata, sekiranya kebenaran rentas negeri diberikan, berkemungkinan mencetuskan peningkatan kes di kawasan-kawasan yang masih merekodkan jumlah vaksinasi yang rendah.
"Di Selangor dan Kuala Lumpur, kemungkinan kita akan mencapai jumlah vaksinasi yang tinggi.
"Tetapi apabila rentas negeri dan daerah ini dibenarkan, mereka ini akan keluar ke kawasan-kawasan atau negeri-negeri lain di mana populasi yang besar masih lagi belum divaksin.
"Jadi, adakah wajar melepaskan sekumpulan ini yang walaupun telah divaksinasi tetapi masih lagi boleh menularkan wabak dan menjadi pembawa kepada mereka yang masih berisiko di negeri-negeri lain?" katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kelonggaran itu tidak boleh dilaksanakan secara setara melibatkan semua penerima dua dos vaksin.
"Sesuatu yang ingin dilaksanakan di sesuatu negeri tidak boleh dilaksanakan di semua negeri dengan serentak.
"Apa yang boleh dilakukan di sesuatu kawasan yang telah divaksin penuh, tidak boleh dilakukan di satu negeri yang masih lagi kurang kadar vaksinasinya.
"Ia adalah situasi yang amat dinamik, tidak boleh ada 'one size fits all', bermakna tidak boleh ambil cara mudah seperti kalau buka, buka untuk semua dan kalau tutup, tutup untuk semua," katanya.
Selepas lebih setahun pandemik ini melanda negara, Dr Farhan berpandangan, sebarang kelonggaran harus berpandukan data dan sains di dalam sesuatu kawasan atau negeri.
25 Julai 2021: Fokus Minggu Depan
#COVID-19
#rentas negeri
#vaksin
#pandemik
#kelonggaran rentas negeri
#kelonggaran dua dos
#penerima dua dos vaksin
#Dr Farhan Rusli