Lenggong Geopark tidak jadi projek 'gajah putih' - MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Mac 13, 2021 15:24 MYT
Mac 13, 2021 15:24 MYT
LENGGONG: Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan program pembangunan Lenggong Geopark tidak akan menjadi projek 'gajah putih' di masa akan datang.
Sebaliknya, pelbagai pembangunan akan terus dilaksanakan yang akan memberi impak kepada sosio-ekonomi di kawasan tersebut.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebagai permulaan, sebuah Galeri Lenggong Geopark akan dibina dengan kos RM2 juta yang disumbangkan Yayasan Albukhary.
"Kita harap jabatan dan kementerian akan meneruskan projek ini kerana tidak cukup setahun lagi, ia akan berpanjangan dari masa ke semasa pembangunan akan berterusan, ia sangat dinamik. Jadi kalau itu dapat dilakukan, dia tak akan jadi gajah putih," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Galeri Lenggong Geopark di Kota Tampan, pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Saudi Abd Rahim dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Kawasan cadangan Lenggong Geopark akan meliputi kawasan seluas 2,391 kilometer persegi yang melibatkan empat mukim iaitu mukim Kenering, Lenggong, Temelong dan Durian Pipit.
Saarani berkata, Lenggong Geopark bukan sahaja melibatkan tapak-tapak geologi dan arkeologi, malah akan mengetengahkan tapak-tapak yang kaya dengan kepelbagaian biologi, sejarah, budaya dan produk tempatan.
#Kerajaan Negeri Perak
#Lenggong geopark
#pelancongan
#Menteri Besar Perak
#Saarani Mohamad
#Yayasan Albukhary
#projek gajah putih