Lempar bom petrol, polis buru tiga Ah Long

Bernama
Oktober 6, 2024 12:20 MYT
Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi turut menjumpai lima helai kertas tertera tulisan bahasa Cina di luar pagar rumah mangsa yang memberikan amaran supaya melangsaikan hutang.
LUMUT: Polis sedang memburu tiga individu disyaki Ah Long yang melempar bom petrol ke sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata dalam kejadian sekitar 3.08 pagi itu sembilan botol bom petrol dilemparkan ke arah kediaman berkenaan hingga menyebabkan sebuah kereta dan motosikal terbakar.
"Polis menerima laporan pada 9.36 pagi semalam daripada mangsa lelaki berumur 25 tahun yang juga seorang pekerja syarikat kuari.
"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga individu itu menaiki sebuah kereta Toyota Altis dan memakai pelitup muka," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Hasbullah berkata hasil pemeriksaan lanjut di lokasi turut menjumpai lima helai kertas tertera tulisan bahasa Cina di luar pagar rumah mangsa yang memberikan amaran supaya melangsaikan hutang.
"Pengadu bagaimanapun menafikan pernah terbabit dengan pinjaman wang tidak berlesen atau bermusuh dengan orang," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempuyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli melalui talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung (05-688 6222) bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#bom petrol #Ah Long #hutang #terkini
;