Lembu turut dicuri, penduduk kampung Kuala Nerang takut tinggalkan rumah

Adie Sufian Zulkefli
Januari 14, 2018 16:44 MYT
Kebanyakan pencuri kebiasaannya menggunakan ubat pelali terhadap lembu penduduk sebelum dicuri berdasarkan kesan yang ditemui oleh pemilik. - Astro AWANI
Bukan sahaja lembu yang hilang, malah kasut, baju serta beberapa barangan peribadi penduduk di sekitar Kuala Nerang berdepan dengan risiko jenayah yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini.
Masalah itu dipercayai mula membelenggu penduduk kampung sejak lima tahun lalu, malah ada beberapa kes kediaman penduduk cuba dipecah masuk.
Menurut seorang penduduk Kampung Batu 13 di sini, Zulkifli Md Zain, 62, sepanjang tempoh itu beliau mengalami kerugian hampir 20 ribu ringgit selepas ternakan lembunya hilang akibat dicuri.
Kebanyakan pencuri kebiasaannya menggunakan ubat pelali terhadap lembu penduduk sebelum dicuri berdasarkan kesan yang ditemui oleh pemilik.
Perkara ini juga membuatkan penduduk berasa tidak selamat untuk meninggalkan kediaman mereka walaupun untuk tempoh yang singkat.
Malah mereka sering didatangi oleh beberapa individu yang menjual barangan peribadi terpakai secara murah yang dipercayai dicuri untuk membolehkan mereka membeli dadah.
Justeru penduduk berharap pihak berkuasa seperti polis lebih kerap melakukan rondaan dalam memastikan kesalamatan penduduk kampung lebih terjamin
#Cuba #curi #Dadah #hilang #jenayah #lembu #pakaian #pecah #polis #ringgit #rumah #takut
;