Lembu sado satu tan dikorbankan bersempena Aidiladha
Bernama
Ogos 22, 2018 14:54 MYT
Ogos 22, 2018 14:54 MYT
Suasana Masjid Jamek Shaik Eusof di Jalan Jalan Datuk Keramat di sini meriah dengan kehadiran ramai penduduk yang datang menyaksikan seekor lembu jenis Brahman seberat satu tan dikorbankan bersempena Aidiladha hari ini.
Pengerusi jawatankuasa masjid Yusof Yaacob berkata lembu bernilai RM15,000 tersebut disumbangkan oleh seorang anak kariah, Rezuwan Mazlan dan perancangan untuk majlis itu dibuat kira-kira dua bulan lalu.
"Majlis korban ini merupakan acara tahunan masjid ini tetapi suasana tahun ini berbeza kerana kita membawa seekor lembu gergasi seberat 1,000 kilogram untuk dikorbankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan masjid.
Beliau berkata hampir 200 orang terlibat dalam majlis tahun ini yang turut mengorbankan sembilan ekor lembu biasa dan 19 ekor kambing.
Yusof berkata beliau difahamkan lembu jenis Brahman yang berusia lima tahun itu diimpot dari Thailand ketika masih kecil.
Proses penyembelihan lembu seberat satu tan itu memerlukan tenaga kerja hampir 10 orang dan mengambil masa lebih sejam, katanya.
"Alhamdulillah, proses penyembelihan hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Shahrul Arizan, 40, seorang jurutera kanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, berkata beliau membawa isteri Shahrizad Alhadi, 40 dan tiga anak mereka Syabil Mikail, 10; Shakeel Mikail, 6 dan Syahsyah Raihana, 4 untuk menyaksikan acara korban tersebut.
"Ini kali pertama saya melihat lembu seberat satu tan dikorbankan bersempena Aidiladha dan saya berasa teruja melihat kerjasama para peserta majlis korban dalam proses penyembelihan itu," katanya.
-- BERNAMA