'Lembu', 'durian' antara kod sulit digunakan penguat kuasa tutup jejak sindiket

Bernama
Ogos 22, 2024 20:53 MYT
Pegawai penguat kuasa terlibat menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini menerusi aplikasi WhatsApp daripada sindiket. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menggunakan kod sulit seperti 'lembu' dan 'durian' untuk menutup jejak sindiket membawa masuk kumpulan warga asing ke negara ini menerusi modus operandi 'counter setting' atau laluan kaunter khas.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kod 'lembu' merujuk kepada pembayaran wang rasuah yang diterima daripada sindiket manakala 'durian' adalah upah kepada pegawai penguat kuasa di kedua-dua terminal KLIA yang bertindak melepaskan kumpulan warga asing.
Penguat kuasa dan sindiket terlibat juga menggunakan beberapa kod nama khas seperti 'school boy', 'limau', 'karpet', 'kicap, 'roti canai', 'junta' dan 'ayam' untuk merujuk kepada kewarganegaraan kumpulan warga asing yang masuk ke negara ini melalui urusan di laluan kaunter khas yang telah diatur.
Sumber itu berkata pegawai penguat kuasa terlibat menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini menerusi aplikasi WhatsApp daripada sindiket sebelum mengarahkan mereka pergi ke kaunter tertentu bagi tujuan pelepasan masuk dan diberikan cop menetap.
"Selepas itu, kumpulan warga asing berkenaan akan dibenarkan keluar dan akan diambil oleh ejen daripada kumpulan sindiket untuk dibawa menggunakan kenderaan ke destinasi masing-masing," katanya.
Sebaik urusan kemasukan kumpulan warga asing itu selesai, sindiket akan membuat bayaran wang rasuah secara tunai atau pindahan ke dalam akaun perbankan pegawai-pegawai penguat kuasa terlibat atau ke akaun milik proksi atau syarikat tertentu dalam tempoh satu hingga dua hari.
Menurut sumber, hasil risikan mendapati bayaran rasuah yang dibayar kepada penguat kuasa yang menjadi tali barut sindiket itu berbeza mengikut kewarganegaraan, bermula serendah RM500 hingga RM2,500.
Modus operandi ini melibatkan warga asing antaranya dari Uzbekistan, Bangladesh, Indonesia, China, Vietnam, Pakistan, India, Myanmar dan Yemen, katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan operasi sedang dijalankan di KLIA Terminal 1 dan 2 berhubung isu kemasukan warga asing menerusi modus operandi berkenaan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan dibuat untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau berkata warga asing yang mendapat layanan melalui modus operandi itu telah lesap dan sukar untuk dikesan.
"Inilah yang menyebabkan penambahan lambakan pekerja tiada permit di negara ini. Mereka bukan datang untuk melawat tetapi untuk mencari pekerjaan tanpa melalui proses mendapatkan permit yang sewajarnya," katanya.
Media sebelum ini melaporkan pembongkaran sindiket membawa masuk pekerja asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa yang dipercayai didalangi beberapa individu daripada agensi penguat kuasa dengan 12 individu telah ditahan menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM beberapa lokasi di seluruh negara.
-- BERNAMA
#penguat kuasa #KLIA #kod sulit #SPRM #sindiket #warga asing