'Lembik tengok tiga keranda anak-anak di rumah' - Bapa mangsa lemas tiga beradik

Nur Fazlizai Ali
Mei 28, 2020 16:49 MYT
Bapa kepada tiga beradik mangsa lemas, Mohd Ismail, tidak mampu mengiringi jenazah anak-anaknya ke tanah perkuburan. - Gambar BERNAMA.
Bapa kepada tiga beradik mangsa lemas di Sungai Terengganu tidak mampu mengiringi jenazah anak-anaknya ke tanah perkuburan.
Mohd Ismail berkata, selama empat tahun dia yang sering menghantar jenazah lain ke tanah perkuburan dan tidak menyangka kali ini melibatkan anak-anaknya sendiri.
Bagaimanapun, pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, dia bersyukur apabila mayat anak-anaknya itu berjaya ditemui pasukan penyelamat selepas 18 jam melakukan operasi pencarian.
Tiga jenazah anaknya itu adalah Allahyarham Umar Iskandar Mohd, 21; Khairul Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd. 16 yang merupakan anak keempat, keenam dan ketujuh dari lapan beradik.
BACA: Tiga beradik lemas: Mayat ketiga ditemui, operasi SAR ditamatkan
BACA: Tiga beradik lemas: Mayat kedua ditemui di dasar sungai
"Orang lain satu keranda sahaja tapi saya sampai tiga, terus rasa lembik tengok tiga keranda anak-anak saya ini dibawa ke rumah.
"Saya terus rasa tak berapa kuat semangat, sedangkan sebelum ini sering memberi nasihat itu kepada orang lain," katanya.
BACA: 3 beradik lemas: Mayat seorang mangsa ditemui
Dalam masa sama, Mohd Ismail memberitahu, dia masih teringat kata anak-anaknya itu yang ingin membantunya selepas ini.
Walau bagaimanapun, hasrat tiga beradik itu tidak kesampaian apabila kesemua mereka terlebih dahulu meninggalkannya.
Katanya, ketiga-tiga beradik itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat.
BACA: Tiga beradik dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu
#jenazah #lemas #Mohd Ismail #Operasi pencarian #pesara #Sungai Terengganu #Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat #Tenaga Nasional Berhad TNB
;