Lembah Klang, Pulau Pinang bakal kena tempias jerebu Indonesia - MetMalaysia

Harits Asyraf Hasnan
Julai 31, 2019 13:59 MYT
Beberapa negeri di tanah air bakal menerima tempias jerebu susulan kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia. -Gambar hiasan
Beberapa negeri di tanah air bakal menerima tempias jerebu susulan kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata beberapa negeri akan mengalami jerebu dalam tempoh sekitar tujuh hari berikutan monsun Barat Daya dengan cuaca kering dan stabil.
"Berdasarkan ramalan kami (MetMalaysia), pergerakan jerebu rentas sempadan dari Sumatera telah mempengaruhi keadaan di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan di sebelah utara pula seperti Pulau Pinang.
"Memandangkan kita masih mengalami tiupan angin dari Barat Daya dan kelajuannya sedikit meningkat, kita jangkakan keadaan jerebu akan berterusan dalam tempoh tujuh hari akan datang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, sekiranya 32 titik panas yang dikesan di Sumatera bertambah diikuti sistem tekanan rendah, tahap ketampakan di beberapa negeri di Malaysia akan turut merosot.
"Angin pada ketika ini bertiup dari arah Sumatera ke arah Semenanjung Malaysia dan semalam, kalau kita tengok berdasarkan pemantauan satelit, terdapat 32 titik tompok panas sekitar Sumatera.
"Apabila titik panas sebanyak begitu, ia memberi kesan kepada negara kita. Situasi ini bergantung kepada Indonesia (memadamkan) kebakaran hutan," jelasnya.
Kebakaran hutan di Riau, Indonesia ketika ini dilihat semakin meruncing apabila hampir 6,000 petugas pengurusan bencana digerakkan oleh Kerajaan Indonesia.
Selain Riau, kebakaran hutan turut dikesan di lima wilayah lain termasuk Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
#Indonesia #jerebu #Kalimantan #kebakaran #Kuala Lumpur #Putrajaya #Riau
;