Lembaga Zakat Selangor 'penyambung nyawa' golongan terkesan pandemik
Israr Khalid
November 27, 2021 12:00 MYT
November 27, 2021 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor mencatatkan peningkatan dalam kutipan zakat pada tahun 2020 berbanding tahun-tahun sebelumnya, meskipun musibah pandemik yang melanda seluruh dunia.
Peningkatan tersebut menjadi pemangkin untuk mereka terus menjalankan tanggungjawab membela golongan terkesan tidak kira siapa, memandangkan pada waktu sukar ini, baik yang kaya apatah lagi yang miskin, bergelut untuk meneruskan hidup.
“Sejak 2010, peratusan peningkatan kutipan zakat LZS adalah sekitar lima hingga 19 peratus.
“Walaupun berlaku sedikit penurunan peratusan dari 8 peratus pada tahun 2019 ke 7 peratus pada tahun 2020, namun keseluruhannya kutipan masih meningkat. Kami dapat mengutip RM913 juta dan mengagihkan RM867.2 juta daripadanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.
Katanya, LZS melaksanakan beberapa inisiatif dan program untuk menyantuni bukan sahaja sekitar 60,000 golongan asnaf sedia ada tetapi juga tidak mengetepikan mereka yang jatuh ke status itu kesan daripada kegawatan ekonomi waktu pandemik.
Antaranya, Bantuan Khas COVID-19 berbentuk 'one-off' bernilai RM300-RM500 satu keluarga, dipohon secara dalam talian bermula Mac 2020, dan kira-kira 25,000 keluarga telah menerima manfaatnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tempoh hari.
Selain itu, terdapat Bantuan Alternatif Insan Terkesan untuk mereka yang hilang pekerjaan dan jatuh miskin daripada golongan B40, M40 malah juga T20, yang mana mereka dibantu dalam tempoh enam bulan.
“Bantuan RM500 diberikan secara bulanan sehingga maksimum RM1,500 sementara mereka cuba mendapatkan pekerjaan dalam tempoh tersebut.
“Setelah itu kami akan lihat semula keluarga ini, kalau sudah ada kerja maka bantuan akan dihentikan. Jika tidak, mereka akan dimasukkan ke dalam sistem kami sebagai golongan yang akan terus dibantu sehingga kualiti hidup mereka meningkat.”
Bermula PKP 3.0, LZS melancarkan program Zakat Selangor Peduli, menyediakan empat agenda untuk membantu asnaf sedia ada, golongan rentan, institusi agama yang terkesan dan juga bantuan khas daripada wang pengurusan untuk pasukan barisan hadapan kesihatan.
Ia melibatkan 19 inisiatif dengan kos RM99.3 juta melibatkan 59,322 penerima yang diteruskan sehingga hujung tahun ini.
“Secara terperincinya, 37,122 penerima asnaf memperoleh manfaat berjumlah RM27 juta; 15,200 golongan rentan menerima bantuan hampir RM11 juta; RM30.6 juta pula diagihkan kepada 431 institusi agama dengan 7,000 penerima; dan wang amir membantu 'frontliners' kesihatan sejumlah RM800,000 yang disumbangkan kepada setiap 12 hospital di Selangor.”
Kata Saipolyazan, usaha ini tidak dapat digerakkan dengan lancar tanpa bantuan setiap agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang menjadi mata dan telinga kepada LZS untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan talian hayat selain daripada mereka yang memohon terus kepada LZS.
Sampaian maklumat daripada mereka membantu memudahkan kerja pasukan bertindak LZS yang dipanggil Skuad Saidina Umar, yang bergerak 24 jam untuk menyampaikan keperluan kepada mereka yang terhimpit di seluruh Selangor.
“Kami percaya semangat saling melengkapi ini amat penting terutama sekali dalam mengatasi dan menyantuni mereka yang terkesan akibat pandemik, tanpa perlu berlumba-lumba siapa yang buat kerja, tetapi lebih penting bagaimana untuk pastikan tiada yang tercicir dan memastikan ada makanan di atas meja mereka,” kata Saipolyazan.
Tonton temu bual penuh beliau dalam Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar, di sini: