Lembaga tatatertib UM tangguh perbicaraan mahasiswa anjur pidato Anwar

T K Letchumy Tamboo
November 7, 2014 19:29 MYT
Prosiding perbicaraan tatatertib terhadap lapan pelajar Universiti Malaya yang terlibat di dalam penganjuran pidato "40 Tahun : Dari UM ke Penjara", telah ditangguhkan ke 18 November.
Prosiding perbicaraan tatatertib terhadap lapan pelajar Universiti Malaya yang terlibat di dalam penganjuran pidato "40 Tahun : Dari UM ke Penjara" pada minggu lepas, telah ditangguhkan ke 18 November.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Unit Media UM Izzad Zalman Abd Kader kepada pemberita.
“Panel mendengar penjelasan lapan yang tertuduh berdasarkan kertas dakwaan yang dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan, panel kemudiannya bersetuju menangguhkan pendengaran dan menyambung semula Selasa minggu depan,” katanya kepada pemberita.
Namun demikian, para pelajar yang menghadiri prosiding perbicaraan tatatertib itu tidak berpuas hati dengan cara ia dikendalikan.
Salah seorang daripadanya adalah Presiden Pro-Mahasiswa UM Safwan Shamsuddin.
Safwan berkata lima orang daripada mereka mahu meruskan prosiding itu tetapi tiga orang minta ia ditangguhkan.
“Selepas habis berdepan dengan Lembaga Tatatertib, kami menunggu untuk keputusan panel sama ada ia akan ditangguhkan atau tidak.
“Namun, selepas menunggu, kami hanya diberitahu oleh staf bahawa ia telah ditangguhkan. Bukannya oleh panel yang membuat keputusan. Ia tidak sepatutnya berlaku.
“Ia menunjukkan sikap tidak professional mereka. Kami kecewa.
“Saya juga terkejut bahawa orang yang menghantar surat pendakwaan kami, adalah orang yang mengetuai panel tersebut,” kata Safwan kepada Astro AWANI.
Selain Safwan, pelajar lain yang berdepan panel itu hari ini adalah Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol, President Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Khairol Najib Hashim, Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Haw Yu Hong, Exco Hal Ehwal Antarabangsa dan Koporat PMUM Adam Fistival Wilfrid, Exco Perhubungan Awam PMUM Abraham Au, Setiausaha Agung PMUM Syamimi Munirah dan Exco Kebajikan PMUM Khairul Anwar.
Semasa prosidingnya, Fahmi telah meminta penangguhan selama14 hari ke atas prosiding perbicaraan tatatertib ke atasnya, untuk menjawab sembilan pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya.
Antara lain, sembilan pertuduhan yang dikenakan keatasnya adalah menganjurkan perhimpunan haram, menghadiri perhimpunan haram dan mengingkari arahan universiti.
Prosiding yang berpanelkan tiga orang itu, diketuai oleh Prof Dr Zanariah Abdullah.
Sekira disabitkan kesalahan, pelajar-pelajar itu akan berdepan dengan lima kemungkinan iaitu dikenakan amaran, denda RM200, dilarang hadirkan diri 200m dari sekitar UM, digantung dan dibuang universiti.
Pada 27 Oktober lepas, sekurang-kurangnya 1,000 mahasiswa dan mahasiswi telah rempuh masuk pintu pagar Universiti Malaya (UM) di sini untuk menghadiri acara pidato itu, bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
#dari um ke penjara #Fahmi Zainol #UM
;