Lembaga Peperiksaan nafi guna pempengaruh TikTok bagi UMBI SPM 2022
Rahimah Abdullah
Februari 19, 2023 17:53 MYT
Februari 19, 2023 17:53 MYT
PUTRAJAYA: Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia menafikan penggunaan pempengaruh TikToker sebagai pelontar suara audio Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Sebaliknya jelas lembaga itu, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.
"Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022.
"Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh. LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan
SPM tahun 2022 adalah terjamin," kata kenyataan pada Ahad.
Tambah LP, Pelaksanaan UMBI SPM tahun 2022 pada 16 Februari lalu telah membawa kepada tularnya
beberapa dakwaan dalam media sosial berkenaan kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan tik tokers sebagai pelontar suara.
Menurut kenyataan lagi, keputusan menggunakan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022
dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan iaitu pertama, format soalan UMBI SPM adalah dalam
pelbagai bentuk, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respons terhad.
Susulan itu, UMBI SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan.
"Kedua, LP juga memastikan item atau instrumen yang dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan. Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil dan saksama kepada calon," ujar LP.
LP juga berpendapat, kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).
"Pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan. Di samping itu, aspek autentik pada penutur juga
dititikberatkan dalam pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi," jelas kenyataan lagi.
Selain itu, praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.