Lembaga Pengarah UMT akan bincang cadangan penggabungan dengan UniSZA

Bernama
September 11, 2019 05:15 MYT
Kabinet pada 4 Sept dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah menggabungkan UMT dan UniSZA yang dijangka mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 perpindahan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
Cadangan penggabungan antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dijangka dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Pengarah UMT yang dijadualkan pada Jumaat.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dr Halim Mohammad berkata lembaga itu akan membincangkan keputusan Kabinet mengenai perkara ini dan bagaimana penggabungan itu akan dilaksanakan.
"Pada pandangan saya penggabungan itu akan membawa yang terbaik (dari kedua-dua universiti). Oleh kerana Kabinet pada dasarnya bersetuju (untuk penggabungan), kami di universiti mesti mengambil keputusan secara positif dan saya percaya berdasarkan keupayaan kedua-dua institusi, ia akan memberi manfaat kepada pelajar," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Putrajaya semalam berkata bahawa laporan mengenai cadangan penggabungan itu dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.
Kabinet pada 4 Sept dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 perpindahan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Halim juga berkata bahawa kakitangan dan pelajar UMT tidak perlu bimbang kerana keputusan kerajaan mengenai perkara itu pasti akan mengambil kira kepentingan mereka.
-- BERNAMA
#enam bulan #gabung universiti #Halim Mohammad #kabinet #kerajaan #Lembaga Pengarah #mengukuhkan keupayaan #pelajar #pendidikan tinggi #penggabungan #umt #UniSZA #universiti malaysia terengganu #Universiti Sultan Zainal Abidin
;