Lembaga Pengarah MRT tangguh peletakan jawatan Azhar
Astro Awani
Ogos 27, 2014 12:31 MYT
Ogos 27, 2014 12:31 MYT
Lembaga Pengarah Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memutuskan untuk menangguhkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Abdul Hamid buat masa kini.
Lembaga Pengarah MRT Corp dalam satu kenyataan mengarahkan Azhar untuk terus menerajui MRT Corp sehingga siasatan kejadian blok konkrit runtuh di Kota Damansara minggu lalu selesai.
"Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat lembaga pengarah pada Isnin.
"Lembaga juga akan hanya membincangkan peletakan jawatan Azhar selepas siasatan selesai," jelas kenyataan itu selepas menyuarat MRT di sini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Dr Ali Hamsa itu dihadiri semua ahli lembaga iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff, Datuk Sri Shahril Mokhtar, Datuk Che Mokhtar Che Ali dan Azhar.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah MRT Corp menjelaskan, prestasi Azhar sepanjang menjadi CEO sejak 1 September 2011 amat memuaskan.
"Syarikat ini sudah berada di landasan yang betul. Buktinya, projek MRT di Lembah Klang mencapai kemajuan yang baik dan sudah siap 50 peratus lebih cepat daripada yang dijadualkan.
"Lembaga juga mendapati pengurusan kewangan projek tersebut boleh dipuji," kata kenyataan itu.
Mengenai siasatan ke atas insiden tersebut, MRT Corp menjelaskan, ia dijangka lengkap pada September ini.
Ujar kenyataan itu, MRT Corp juga akan melakukan siasatan menyeluruh untuk memastikan punca kejadian selari dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 19 Ogos lepas.
"Siasatan akan menentukan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan itu dan ia akan diikuti dengan tindakan undang-undang sewajarnya yang akan diambil terhadap pihak yang bersalah," jelas kenyataan itu.
Azhar sebelum ini mengumumkan bahawa jawatannya yang kosong akan dipangku oleh Pengarah Perhubungan Pelabur dan Pengurusan Tanah MRT Corp., Haris Fadzilah Hassan.