Lembaga pengarah 1MDB uruskan bayaran kepada IPIC - Johari

Bernama
Ogos 2, 2017 08:43 MYT
Mengenai sama ada dana awam akan digunakan sekiranya 1MDB mahu mendapatkan bantuan kerajaan, Johari (gambar) berkata, pihak 1MDB tidak berjumpa dengan Menteri Kewangan. - Gambar fail
1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan menguruskan pembayaran kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, pembayaran itu, yang dijadualkan pada 31 Julai, 2017, diuruskan di peringkat lembaga pengarah 1MDB.
"Biarlah mereka selesaikan masalah ini, ia adalah soal syarikat. Jika mereka kata mereka akan mampu membayarnya, biarlah kita tunggu mereka bayar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018 di sini, hari ini.
Mengenai sama ada dana awam akan digunakan sekiranya 1MDB mahu mendapatkan bantuan kerajaan, beliau berkata, pihak 1MDB tidak berjumpa dengan Menteri Kewangan.
"Anda tidak akan membantu mana-mana pihak jika mereka tidak bertemu dengan anda. Ini sewajarnya tidak menjadi isu ketika ini kerana ia diiuruskan oleh peringkat lembaga pengarah," katanya.
Dalam kenyataan semalam, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata, ia telah memaklumkan secara bertulis kepada syarikat Abu Dhabi, IPIC, mengenai pembayaran yang dijadualkan pada 31 Julai, 2017 yang sebaliknya akan dibuat pada Ogos 2017 kerana masih menunggu dana sewajarnya.
1MDB berkata kesemua bayaran kepada pihak IPIC itu akan menggunakan hasil yang dikumpul menerusi pelan rasionalisasi 1MDB.
Laporan sebelum ini menyatakan 1MDB diberi tambahan lima hari bekerja untuk menyelesaikan pembayaran itu, yang merupakan sebahagian penyelesaian membabitkan pertikaian hutang, berjumlah US$603 juta (kira-kira RM2.58 bilion).
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Bhd #1MDB #Abu Dhabi #bajet #International Petroleum Investment Co #IPIC #JOHARI ABDUL GHANI #Kementerian Kewangan #kerajaan #kewangan #menteri