Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam tidak sensitif - Azih

Sinar Harian
April 9, 2020 14:31 MYT
Azih berkata, kenyataan itu juga menunjukkan LPPSA seolah-olah tidak mempunyai sensitiviti langsung terhadap situasi ekstrem yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini. - Gambar fail
Tindakan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan perumahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disifatkan sebagai tidak sensitif.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda berkata, beliau berasa amat terkejut dan terkilan setelah meneliti kenyataan akhbar oleh LPPSA yang mengatakan badan berkanun itu akan berdepan masalah kewangan yang serius jika melaksanakan moratorium seperti diumumkan kerajaan.
Beliau berkata, kenyataan itu juga menunjukkan LPPSA seolah-olah tidak mempunyai sensitiviti langsung terhadap situasi ekstrem yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Langkah diambil LPPSA ini amatlah bertentangan dengan pakej Prihatin yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat tanpa mengira kedudukan, perkhidmatan, bangsa dan agama.
"LPPSA tidak sedikit pun menunjukkan rasa simpati dan berhasrat untuk membantu kerajaan bagi memulihkan kedudukan ekonomi rakyat yang terjejas dengan pandemik ini,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azih berkata, sebelum ini kerajaan sudah melonggarkan syarat untuk membolehkan anggota penjawat awam membuat pembiayaan perumahan sehingga 80 peratus daripada gaji mereka.
Menurutnya, ini bermakna baki gaji anggota perkhidmatan awam sebenarnya yang digunakan untuk pinjaman perumahan hanya tinggal 20 peratus.
"Bagi meneruskan kelangsungan hidup ada di antara penjawat awam yang terpaksa bekerja dalam bidang lain bagi menampung kehilangan pendapatan termasuk juga pasangan mereka disebabkan oleh PKP ini.
"Kesusahan dirasai oleh anggota penjawat awam yang membuat pinjaman perumahan dengan LPPSA dan badan itu tidak sepatutnya membangkitkan soal Bantuan Prihatin kepada rakyat dan penjawat awam kerana ia diumumkan oleh kerajaan," katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap campur tangan kerajaan dalam membuat keputusan seperti yang dilaksanakan oleh LPPSA.
"Kenyataan oleh LPPSA bukan sesuatu yang baharu malah sebelum ini pun mereka amat sukar melaksanakan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
"Pihak Kesatuan berharap supaya LPPSA dan Kabinet dapat menimbang semula permohonan pihak pekerja untuk melaksanakan moratorium bagi mereka yang mendapat pembiayaan daripada LPPSA seperti yang dinikmati oleh peminjam yang mendapat pembiayaan daripada bank," katanya.
#ANULAE #Azih Muda #coronavirus #COVID-19 #cuepacs #koronavirus #Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam #LPPSA #Malaysia #Muhyiddin Yassin #penjawat awam #Perdana Menteri #Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Pihak Berkuasa Temp
;