Lembaga Pelawat Hospital Shah Alam gerakkan kempen 'Saya Prihatin'

Astro Awani
Julai 13, 2021 17:08 MYT
Irmohizam (dua kanan) ketika menyampaikan sumbangan daripada Ahli Lembaga Pelawat Hospital Shah Alam sebagai satu usaha membantu hospital berkenaan. - Gambar Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
SHAH ALAM : Dalam usaha membantu Hospital Shah Alam menangani pertambahan pesakit saban hari, Lembaga Pelawat hospital berkenaan menggerakkan kempen 'Saya Prihatin'.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya sejak dari beberapa bulan lepas berterusan berusaha mengumpul dana bagi membantu hospital berkenaan.
“Baru-baru ini, kami menyampaikan sumbangan katil kanvas kepada Pengarah Hospital Shah Alam Selangor, Dr Ismi Rozita untuk kegunaan kepada petugas barisan hadapan hospital tersebut.
“Sumbangan itu diberikan kerana penggunaan kapasiti katil di hospital itu semakin meningkat sehingga keadaan begitu sesak terutama di Wad Kecemasan.
“Saya sempat mendengar sendiri taklimat yang diberikan oleh Pengarah Hospital Shah Alam dan merakamkan penghargaan atas semangat yang ditunjukkan oleh kakitangan hospital,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah beliau, Hospital Shah Alam juga ketika ini dalam proses menyewa kontena bagi persediaan untuk penyimpanan mayat pesakit.
“Sejak dulu, kami tidak berputus asa dalam mengumpul dana untuk peralatan perubatan seperti, pelindung muka, peralatan pelindungan peribadi (PPE), pelitup muka dan bekalan perubatan untuk hospital dan juga kakitangan hospital.
“Saya menyeru kepada seluruh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat korporat dan mana-mana individu untuk sama-sama membantu Hospital Shah Alam,” ujarnya.
Tambahnya, mereka yang ingin memberikan sumbangan wang, barangan atau makanan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam AHLI LEMBAGA PELAWAT HOSPITAL SHAH ALAM (120 380 101 37 399)
Katanya lagi, mereka juga boleh berhubung terus dengan Suhaila di talian 019-3149000 dan Salbiah (010-5035473).
#Irmohizam Ibrahim #Hospital #bantuan #Saya Prihatin #katil #kanvas #penggunaan katil #petugas barisan hadapan #pelitup muka #PPE #NGO #bank #shah alam
;