Lembaga pelabuhan tanggung kos bangunkan Sistem Tunggal Maritim Malaysia - Loke

Bernama
September 5, 2023 12:40 MYT
Loke berkata pembangunan MMSW adalah selaras dengan keperluan kepantasan dalam perniagaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kos untuk membangunkan Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) sebanyak RM20 juta akan ditanggung oleh lembaga pelabuhan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata usaha mewujudkan MMSW ini selari dengan komitmen pemain industri dengan ketetapan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bahawa semua negara di bawah IMO perlu membina satu sistem tunggal maritim menjelang 1 Jan 2024.
"MMSW akan dilaksanakan pada tahun depan dan sistem tersebut mengandungi kesemua maklumat berkaitan pergerakan kapal dan muatan kargo," katanya pada sidang media selepas melancarkan Global Shippers Roundtable (GSR) hari ini.
Sidang meja bulat itu bertemakan "Navigating the Waves of Unpredictability: Building Shippers' Resilience for the Next Normal".
Loke berkata pembangunan MMSW adalah selaras dengan keperluan kepantasan dalam perniagaan dan sistem tersebut dijangka akan menyelesaikan isu seperti pelepasan keluar dan masuk kargo ke dalam dan luar negara.
"Kelewatan dalam pelepasan kargo merupakan kos kepada peniaga," katanya.
Terdahulu, Loke memberitahu pengusaha pelabuhan dalam negara perlu berurusan dengan 12 agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta pihak berkuasa pelabuhan sebelum kapal dapat berlabuh.
Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Johor merupakan pelabuhan pertama yang akan membangunkan sistem tersebut pada suku keempat tahun ini.
-- BERNAMA
#lembaga pelabuhan #Sistem Tunggal Maritim Malaysia #Anthony Loke #MMSW
;