Lembaga lebuhraya nafi kadar tol naik Ogos ini

Bernama
Mei 6, 2015 23:47 MYT
LLM: Tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat konsesi berhubung kenaikan kadar tol - Gambar Fail
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menafikan artikel 'Kadar Tol Naik Ogos Ini?' yang dimuat naik dalam laman web Free Malaysia Today pada Isnin.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata sehingga kini kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tol.
"Tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat konsesi berhubung perkara ini. Oleh itu sebarang kenyataan atau laporan berhubung kenaikan kadar tol adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata pada masa ini kadar tol bagi semua lebuh raya masih kekal pada kadar semasa.
Menurut laman web itu semalam, sebanyak 19 syarikat konsesi lebuh raya akan menaikkan kadar tol pada Ogos ini, di samping mendakwa kenaikan itu antara 50 hingga 100 peratus.
#Ismail Md Salleh #LLM #tol