Lembaga keselamatan Belanda beri fokus terhadap analisis kelengahan siasatan MH17
Bernama
Mei 19, 2015 07:41 MYT
Mei 19, 2015 07:41 MYT
Pasukan penyiasatan antarabangsa Lembaga Keselamatan Belanda kini memberi fokus terhadap analisis mengenai kesahihan fakta yang dibekalkan media berhubung kelengahan dalam penyiasatan berkaitan tragedi Penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS).
Timbalan pengarah Jabatan Antarabangsa dan Akhbar, Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata analisis itu termasuk mengenai kegagalan mengalihkan kesemua serpihan pesawat berkenaan dari tempat nahas untuk dibuat analisis.
Katanya, pembinaan semula secara 3D bahagian pesawat berkenaan adalah penting dalam penyiasatan, manakala analisis superfisial tentang kerosakan yang berlaku pada rangka pesawat itu akibat kesan daripada objek berkelajuan tinggi juga akan dibuat analisis.
"Kumpulan pakar Belanda belum memberi jawapan tentang gambar yang disediakan satelit Amerika. Para pakar Rusia tidak berpeluang untuk mendengar rakaman data penerbangan.
"Aduan kami termasuk kelengahan yang berlaku, yang kami anggap tidak sepatutnya berlaku, berhubung pemindahan pita pengawal trafik udara Ukraine, yang boleh membantu memberi penjelasan tentang tragedi itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai jawapan kepada laporan agensi berita Rusia, TASS berhubung kelengahan penyiasatan terhadap Penerbangan MH17, yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas.
Kesemua 298 penumpang pesawat itu, termasuk 44 rakyat Malaysia, maut dalam
kejadian tersebut.
Zakharova berkata Rusia membayangkan harapannya agar penyiasatan tentang kejadian itu dapat disiapkan dengan segera dan sejajar dengan itu, pihaknya bekerjasama secara aktif dengan pasukan pakar antarabangsa serta berkongsi maklumat dan menawarkan bantuan kepakaran.