Lemas tidur dalam kereta, dua beranak kini kritikal
Astro Awani
Februari 20, 2019 20:02 MYT
Februari 20, 2019 20:02 MYT
Seorang lelaki dan anaknya dilaporkan kritikal selepas disyaki lemas ketika sedang tidur di dalam kereta semasa menunggu isterinya di tempat letak kereta Hospital Kemaman, Terengganu, pada Rabu.
Mohd Amiroshelmi Jusoh, 30 tahun, dan anak lelakinya, Putera Rafiudin Haiqal, enam tahun, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di dalam kereta jenis Proton Gen-2.
Amiroshelmi dikatakan datang dari bandar Kerteh untuk melihat isteri dan anak bongsunya berusia tiga tahun yang telah dimasukkan di wad hospital tersebut akibat masalah kesihatan sejak Isnin lalu.
Keadaan dua beranak tersebut disedari rakan sekerja Amiroshelmi, Mohd Hazmin Jusoh, yang datang mencarinya pada pukul 12 tengah hari untuk membincangkan hal kerja.
Sejurus tiba, Mohd Hazmin berkata dia melihat kereta mangsa berada di tempat meletak kereta dan menemui rakannya itu terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama anaknya.
"Saya telefon dia dari pagi, pukul 8 lebih, pukul 10, pukul 11, dia tak angkat. Saya rasa tak sedap hati.
"Saya ambil keputusan untuk cari dia di sini (hospital). Sampai saja sini, saya nampak kereta dia, saya jenguk dalam, nampak dia dan anak dia dalam keadaan berpeluh.
"Saya cari tukul tak jumpa, terpaksa pecahkan cermin pakai batu. Ketika itu dalam pukul 12 tengah hari. Saya ambil anak dia dulu dan masuk dalam hospital," kata Mohd Hazmin ketika ditemui.
Kedua-dua beranak itu kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebelum anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Kita hendak pastikan sama ada ianya disebabkan keracunan gas monoksida ataupun kelemasan. Ini kerana ketika kedua-kedua dijumpai, cermin kereta tertutup dengan rapat," katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah keselamatan ketika berehat di dalam kereta supaya perkara sama tidak berulang.