Lemas tergelincir ketika mandi sungai

Astro Awani
Mei 13, 2021 17:25 MYT
Mayat mangsa berjaya dikesan di dasar sungai kira-kira tujuh meter dari lokasi terakhir dia dilihat. - Gambar/ JBPM
KUCHING: Seorang lelaki lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika mandi di Kampung Sungai Langsat, Jalan Lama Kuching-Serian di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian berdekatan Loji Air Siburan kira-kira jam 9.30 pagi itu, Bonnie Kota, 31, dari Kampung Kujang Mawang, Tebedu, hilang selepas terjatuh.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 9.44 pagi, dua pasukan anggota serta sebuah jentera dan ambulans EMRS segera dihantar ke lokasi.
Selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, lapan anggota Penyelamat Di Air (PPDA) turut diaktifkan dan melakukan pencarian pada radius 15 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
"Sekitar jam 12.30 tengah hari, mayat mangsa berjaya dikesan di dasar sungai kira-kira tujuh meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
"Mayat kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.
#lemas #tergelincir #mandi sungai #Kampung Sungai Langsat #Kuching #awani borneo
;