Lemas punca 11 ekor lembu mati

Nur Fazlizai Ali
Julai 25, 2022 05:45 MYT
Kesemua bangkai tersebut telah dilupuskan di lokasi yang sama dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) cawangan Kuala Nerus. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Lemas dipercayai antara punca kematian 11 ekor lembu jantan baka Brahman Siam dewasa yang ditemui mati di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan lembu berkenaan diseludup dari negara jiran.
Katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sedang mengenal pasti suspek yang melakukan perbuatan itu.
"Lembu itu yang disyaki oleh Jabatan Veterinar sebagai lembu yang diseludup dengan makna lembu yang masuk secara haram.
"Sebab itu apabila lembu itu mati, tidak ada laporan daripada penternak tentang kejadian itu dan dibuang begitu sahaja.
"Kita mengesyaki sebenarnya lembu itu kemungkinan lemas semasa berada di dalam lori dengan muatan yang padat dan dibuang begitu sahaja.
"Tidak ada orang nak bertanggungjawab kerana mereka sendiri pun sudah melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang dari segi penyeludupan," katanya.
Terdahulu media melaporkan bangkai 11 lembu dalam keadaan berulat ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar di Kuala Nerus dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
BACA: Veterinar buka kertas siasatan insiden penemuan 11 bangkai lembu
Kesemua bangkai tersebut telah dilupuskan di lokasi yang sama dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) cawangan Kuala Nerus.
Susulan kejadian itu Azman berkata satu kertas siasatan juga telah dibuka untuk siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) kerana dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan sehingga menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada lembu.
#lembu #lemas #Kampung Sungai Lekar #Dr Azman Ibrahim
;