Lemas lombong bauksit: Datuk mangsa mahu saman pihak terbabit
Astro Awani
Februari 5, 2017 16:47 MYT
Februari 5, 2017 16:47 MYT
Datuk kepada Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, yang meninggaL dunia akibat lemas di kolam bekas lombong bauksit dekat sini petang semalam, berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di situ.
Aidil Omar, 78, berkata sepatutnya pihak terbabit perlu mengambil berat aspek keselamatan penduduk sekitar dengan mengambil langkah seperti menimbus semula bekas lombong itu supaya tidak terbiar begitu sahaja sehingga boleh meragut nyawa orang lain.
Aidil berasa sangat sedih sebab mangsa adalah cucu yang sangat rapat dan boleh dikatakan setiap hari mangsa akan datang bermain dirumahnya.
"Saya hendak saman pihak (jalankan perlombongan) bauksit ini. Saya sangat sedih sebab dia cucu yang sangat rapat dengan saya. Boleh dikatakan setiap hari Nureen Ain akan datang bermain di rumah saya.
"Pihak berkaitan kena pandang seriuslah benda ini sebab mereka korek bauksit di kawasan yang dekat dengan rumah penduduk, selepas ini saya akan minta bantuan nasihat cara yang perlu saya buat untuk teruskan saman ini," katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian jenazah Nureen Ain di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karang Darat, dekat sini, hari ini.
Jenazah Nureen Ain selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi.
Menurut aidi lagi, pihak berkaitan seharusnya memandang serius mengenai isu keselamatan kerana kawasan menggali bauksit tersebut adalah sangat berdekatan dengan rumah penduduk.
Dia yang juga pesara tentera itu berkata tindakannya untuk menyaman pihak berkaitan itu bagi memberikan pengajaran kepada mereka supaya tidak sesekali memandang remeh aspek keselamatan penduduk hingga meragut nyawa cucu kesayangannya itu.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi kejadian mendapati sememangnya kawasan lombong yang meragut nyawa tiga kanak-kanak semalam sangat berhampiran, kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan.
Juga tiada kelihatan sebarang papan-tanda amaran atau pagar penghalang kekawasan berkenaan yang kelihatan terbiar.
Saorang penduduk ditemui Aziyadi Abdullah, juga melahirkan rasa kebimbangan mengenai keselamatan anak-anak dan sangat berharap sesuatu segera dilakukan bagi mengelak berlaku kejadian serupa.
“Kawasan ini kawasan terbuka. Ini kawasan yang luas. Kedalaman air pun hampir enam kaki. Lebih bahaya untuk penduduk-penduduk sekitar ni lebih-lebih lagi anak-anak yang bermain disekitar,” katanya.
Kekecewaan juga turut dilahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andansura Rabu, dan meminta pihak berkuasa bertegas dengan pengusaha lombong bauksit yang mengabaikan isu keselamatan.
Menurut Andansura, kemalangan lemas di lombong bauksit, bukan kejadian pertama namun pihak berkaitan tidak mengambil pengajaran.
“Saya juga kecewa kerana apa kerana peristiwa ini tidak diambil pengajaran sebelum ini, tidak ada langkah-langkah yang bersesuaian atau yang tegas diambil untuk memastikan peristiwa yang sama tidak berulang,” katanya.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati terdapat satu lagi kolam bekas lombong bauksit di kawasan sekitar iaitu kira-kira 1 kilometer dari kolam lokasi dimana Allahyarham Nureen Ain lemas.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Nureen Ain bersama dua rakannya yang merupakan pasangan adik-beradik Salsabila Zuhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7, ditemui mati lemas di kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di Beserah ketika bermain-main di situ.