Lemas ketika melarikan diri selepas kemalangan

Abd Razak Mohd Ali
Januari 21, 2019 07:36 MYT
Bomba menemui mayat mangsa kira kira 10 meter dari tepi jalan di dalam kawasan lombong. - Foto PDRM
Seorang lelaki lemas di dalam lombong, dipercayai ketika melarikan diri selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Bakap Baru, Batu Gajah, dekat sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.
Mangsa, Mohd Adha Mohd Arif, 43 tahun, dikatakan kurang siuman dan pernah mendapat rawatan di hospital Tanjung Rambutan pada 2014.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang sebuah motosikal disyaki hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong sebelah jalan dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki.
Sejurus kemalangan, mangsa yang dalam ketakutan telah bertindak melarikan diri dan terus masuk ke dalam lombong berdekatan dan disyaki mati lemas.
“Pihak bomba telah dipanggil untuk mengesan mangsa dan mayatnya ditemui kira kira 10 meter dari tepi jalan di dalam kawasan lombong,” kata Ahmad Adnan dalam satu kenyataan awal hari ini.
Kemalangan berlaku di satu selekoh yang gelap kerana tiada lampu jalan.
Seorang lagi mangsa kemalangan disyaki patah kaki dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan.
#Ahmad Adnan Basri #Batu Gajah #kemalangan #kurang siuman #lemas #lombong #mangsa #melarikan diri #Mohd Adha Mohd Arif #polis
;