Lemas karbon monoksida: Mangsa terselamat dibenar keluar hospital
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 6, 2020 17:17 MYT
Oktober 6, 2020 17:17 MYT
BUKIT MERTAJAM: Setelah hampir tiga minggu menerima rawatan, mangsa yang terselamat akibat keracunan karbon monoksida ketika tertidur di dalam kereta di Butterworth, Pulau Pinang dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dibenarkan keluar dari wad di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan selepas selesai menjalani pemeriksaan mata.
"Pemeriksaan doktor mendapati keadaan mata mangsa bertambah baik, namun masih perlu meneruskan rawatan susulan.
"Selain itu, Nor Aqilah juga tidak lagi memerlukan rawatan fisioterapi kerana dia sudah mampu berjalan seperti biasa," katanya di sini, hari ini.
Nor Aqilah adalah satu-satunya mangsa yang terselamat selepas dia bersama tiga lagi rakan termasuk kembarnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan di stesen minyak di Sama Gagah, Seberang Jaya, Butterworth.
Dalam kejadian 17 September lalu, tiga mangsa lain iaitu Syarifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri serta kembar Nor Aqilah iaitu Nor Adilah masing-masing berusia 21 tahun, meninggal dunia akibat terhidu karbon monoksida.
Mereka sebelum itu dikatakan berhenti rehat hingga tertidur di dalam kenderaan tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.
Sharifah Fariesha maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.
Laporan bedah siasat ke atas tiga mangsa yang maut mendapati punca kematian mereka disebabkan terhidu karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.