Lemas di Pantai Sura: Mayat terakhir tiga beradik ditemui

Sharom Abu Bakar
Disember 31, 2018 14:20 MYT
Anggota Bomba mengangkat mayat Nurain Salsabila di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Dungun hari ini. - BERNAMA
Kesemua mayat tiga beradik tragedi mangsa lemas di Pantai Sura, Dungun berjaya ditemui pagi tadi.
Mayat pertama, Nurain Sofia Zawawi, 8 tahun, ditemui terapung kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada pukul 7.38 pagi.
Mayat kedua, Nurain Salsabila Zawawi, 6 tahun, dijumpai pada pukul 9.20 pagi sementara mayat terakhir, Nurain Fatma, 10 tahun, ditemui pada pukul 11.05 pagi.
Kesemua mangsa dijumpai pada jarak satu hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
BACA: Dua daripada tiga beradik ditemui lemas - Bomba
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelama Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, operasi pencarian dijalankan dengan melibat 73 kekuatan anggota.
"Dengan bantuan semua agensi, kami telah berjaya menemui semua mangsa kurang daripada 24 jam. Dungun ini memang kawasan yang popular untuk bermandi-manda… memang kerap berlaku kejadian mati lemas," katanya.
Dalam kejadian pukul 6.40 petang Ahad, tiga beradik itu dilaporkan lemas selepas ditelan ombak besar.
Kesemua mangsa akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kelantan.
#Dungun #lemas #Pantai Sura
;