Lemas di Batu Layar: Satu mayat dijumpai

Sinar Harian
September 11, 2018 12:28 MYT
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi setelah disahkan oleh keluarga mangsa. - SinarHarian.com
Mayat salah seorang remaja yang hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar pada Isnin berjaya dijumpai jam 5.50 pagi tadi oleh pasukan penyelamat.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mayat Muhammad Norhakimi Rejab, 18 tahun, ditemui kira-kira 500 meter dari pangkalan hadapan carilamat.
"Mangsa yang memakai baju berwarna biru ditemui terdampar oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Maritim Malaysia, Tentera Darat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang melakukan pencarian di sekitar pesisir pantai ketika air surut.
"Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) setelah disahkan oleh keluarga mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, SAR yang dikoordinasikan Maritim Malaysia untuk mencari seorang lagi mangsa iaitu Noor Rahimi Fithri Ismail, 19 diteruskan hari ini.
Katanya, empat aset laut daripada beberapa agensi iaitu Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Bomba dan APM digunakan dalam usaha mencari mangsa.
"Mangsa yang hilang dilaporkan memakai baju berwarna merah. Keluasan kawasan pencarian juga diperluas sekitar enam batu nautika persegi," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai segera menghubungi talian 999 atau Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru di talian 07-221 9231 sekiranya berdepan kecemasan di laut.
Beliau juga menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan mengambil langkah sewajarnya apabila berada di pantai.
Terdahulu, dua remaja berkenaan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar pagi semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 8.32 pagi sebelum menggerakan operasi SAR.
#Johor #lemas #maritim #mayat #mencari dan menyelamat #operasi #Pantai Batu Layar #penyelamat #Sanifah Yusof #SAR
;