Lemas dalam tong: Pasangan suami isteri didakwa bunuh, dera 'Adik Amir'

Shuhada Abdul Kadir
Februari 10, 2021 11:29 MYT
Polis melakukan kawalan ketat terhadap ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di dalam tong air, ketika hadir bagi pertuduhan kes dera di Mahkamah Ayer Keroh hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Ayer Keroh atas tuduhan membunuh anak mereka yang berusia tujuh tahun.
Tertuduh Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, didakwa di dua mahkamah berasingan atas dua pertuduhan.
Bagaimanapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mereka didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek.
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera ibu, ayah tiri
BACA: Ibu kandung mangsa lemas dalam tong, graduan diploma kaunseling
BACA: Budak lemas dalam tong: Bapa tiri pernah didakwa kes pukul isteri - Polis
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong selamat dikebumi di Jasin
Kes dera | Sepasang suami isteri didakwa bunuh, dera anak
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh sejurus kertas pertuduhan dibacakan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mendera mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Januari 2021, jam 3.32 petang di rumah pasangan itu di Taman Krubong Jaya dalam daerah Melaka Tengah.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu.
Hakim tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.
Mahkamah menetapkan 29 Mac sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki itu didakwa lemas dalam dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter oleh suspek lelaki berusia 38 tahun yang juga bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya.
Pemeriksaan fizikal serta hasil bedah siasat bagaimanapun mendapati, terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.
Jenazah kanak-kanak tujuh tahun dipercayai mangsa dera dikebumi
#bunuh anak kandung #Zuraida Atan #Mohd Fadzli Abdull Razak #Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek #Adik Amir #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Akta Kesalahan Kanak-Kanak #Taman Krubong Jaya
;