Lemang sushi yang unik, hanya di Kuala Pilah

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 16, 2018 22:17 MYT
Dengan hanya bermula sebagai penjual serunding ikan bilis dan popia simpul, Zuriati (kiri) mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya lima angka sebulan.- Astro AWANI / SHUHADA KADIR
Mendengarkan namanya sahaja, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang membezakan lemang sushi ini dengan lemang tradisional biasa.
Adakah rasa dan aroma makanan tradisional yang berasaskan santan dan beras pulut ini dikekalkan?
Inovasi lemang sushi yang diperkenalkan pengusahanya, Zuriati Sulaiman, di pekan Kuala Pilah, mula dikenali sejak awal tahun lalu.
Ia kini berjaya menjadi fenomena di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Tidak siapa menduga, dengan hanya bermula sebagai penjual serunding ikan bilis dan popia simpul, usahawan wanita berusia 51 tahun ini mampu meraih pendapatan sekurang-kurangnya lima angka sebulan.
Menurut Zuriati, ketika awal pembabitannya pada 2005, syarikat Awie Enterprise miliknya hanya mengeluarkan serunding ikan bilis dan popia simpul yang dipasarkan di kedai-kedai runcit sekitar pekan Kuala Pilah.
Inovasi lemang sushi dengan meletakkan inti di tengah-tengah lemang bermula daripada idea suaminya, Azizi Abd Muin, 56 tahun.
"Asalnya, idea itu tercetus apabila kami mendapat mesin pembakar lemang daripada Jabatan Pertanian negeri (JPNS) pada 2016.
"Mula-mula, kami belajar buat lemang biasa. Kemudian, suami saya dapat idea, apa kata kita masukkan inti dalam lemang, jadi 'dua dalam satu'.
"Maknanya, orang makan tak payah cicah lagi. Dalam lemang, dah siap lauknya," ujar usahawan bimbingan MARA ini ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Keunikan rasa pedas serundingnya yang selari dengan citarasa Negeri Sembilan semakin mendapat tempat sebelum produknya dikembangkan dengan penghasilan serunding daging, serunding ayam dan juga rendang daging minang.
Tidak mahu terus berada di takuk lama, berkat usahanya, perniagaannya semakin maju dengan inovasi penghasilan lemang sushi.
Percubaan selama tiga bulan kemudiannya membuahkan hasil.
Lantas tercetuslah lima jenis lemang sushi - lemang serunding daging, lemang serunding ayam, lemang serunding ikan bilis, lemang rendang daging minang dan lemang berinti durian D24 yang kini berada di pasaran menerusi kira-kira 20 ejen yang dilantik.
Malah, Zuriati merupakan satu-satunya pengeluar produk lemang sushi di negara ini yang mendapat pengiktirafan daripada Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Menceritakan produknya, ibu anak satu ini berkata: "Lemang ini tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang dan dibakar dalam ketuhar khas, hasil bantuan Mardi dan JPNS.
"Ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk penghasilannya sebelum dijadikan produk sejuk beku dan dipasarkan," katanya sambil menambah, proses pembuatan produknya masih mengekalkan cara tradisional iaitu menggunakan santan dan beras pulut biasa.
Menurut Zuriati lagi, lemang sushi tersebut disejukbekukan dan boleh dimasak semula di dalam ketuhar gelombang mikro atau dikukus bagi mendapatkan kembali rasa yang enak dan lembut.
Kesemua lemang sushi yang bersaiz sembilan inci panjang ini dipasarkan pada harga RM18 hingga RM20 sebatang.
Zuriati berkata, pada hari-hari biasa, dia yang dibantu oleh anak dan menantunya serta lima pekerja lain, mampu menghasilkan kira-kira 600 batang dalam sebulan.
Bagaimanapun, pada musim perayaan, mereka terpaksa membuat tiga pusingan sehari bagi memenuhi permintaan ramai.
Dalam pada itu, sama seperti usahawan lain, Zuriati sentiasa berusaha mengembangkan sayap perniagaannya dengan mencuba pelbagai peluang.
BACA: Emas murah di Kuala Pilah, berbaloi datang dari jauh
BACA: UiTM Kuala Pilah gajah putih?
BACA: Istimewa di Kuala Pilah - masak lemak cili api, daging salai
BACA: Lari dari hiruk pikuk, cari makan tepi sawah di Kuala Pilah
Kini, serundingnya telah berjaya menembusi pasaran pasar raya-pasar raya terkemuka dan boleh didapati di lebih lima cawangan AEON di seluruh negara.
"Setakat ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan mesin yang lebih besar supaya dalam satu hari kami boleh gandakan pengeluaran.
"Setakat ini, dua mesin memang tak mampu. Jadi, kami terpaksa kerja dua shift, tiga shift, untuk menampung permintaan," kata anak jati Kuala Pilah ini, yang turut menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak.
Antaranya, johan Projek Pengembangan Veterinar Industri Asas Tani Peringkat Kebangsaan 2012, johan serunding ikan bilis pada Hari Peladang Penternak Dan Nelayan (HPPNK) Negeri Sembilan 2014 serta juara produk komersial (kategori mikro) Popia Mini MAHA 2016.
#inovasi #Kuala Pilah #lemang #makanan tradisional #pengusaha #sushi #Zuriati Sulaiman
;