Lemang daun tebu lebih enak dan wangi

Adie Sufian Zulkefli
Mei 13, 2020 15:00 MYT
Sebelum proses membakar lemang dibuat, daun tebu yang dikutip perlu diraut dan dicuci terlebih dahulu untuk membuang miangnya. - Gambar Astro AWANI
Kepada sebilangan besar daripada kita, sepanjang hayat mereka mungkin hanya melihat atau menjamah juadah tradisi lebaran lemang yang dibalut dengan daun pisang.
Namun, perkara itu amat berbeza sekali bagi penduduk di Kampung Belukar, Telaga Mas dekat Pokok Sena Kedah yang memasak lemang dengan menggunakan daun tebu.
Aneh sekali bunyinya bukan, tetapi apa yang perlu anda semua ketahui ialah keenakan dan aroma lemang daun tebu ini amat membuka selera.
Bagi pembuatnya, Abdullah Puteh, 56, resepi membuang leman daun tebu itu diwarisinya daripada Allahyarham ibunya.
Dia yang tidak lokek berkongsi resepi berkata, sebelum proses membakar lemang berkenaan, daun tebu yang dikutip perlu diraut dan dicuci terlebih dahulu untuk membuang miangnya.
Menurut Abdullah, daun tebu itu kemudiannya disusun rapat lalu dimasukkan ke dalam batang buluh lemang.
Selepas selesai proses tersebut, Abdullah berkata, beras pulut dan santan akan dimasukkan pula.
Proses pembuatan lemang daun tebu, kata Abdullah, dilakukan dengan teknik tersendiri bagi mengelakkan daun tebu tidak melekat pada buluh dan pada lemang itu sendiri ketika sejuk.
Keenakan lemang daun tebu adalah pada adunan rasa manis, masin serta lemak santan dan pulutnya.
Bertambah enak dan membuka selera juadah ini ialah pada aroma dun tebunya.
"Sebenarnya, (resepi) lemang daun tebu ini saya belajar daripada arwah mak saya. Cara nak buat lemang daun tebu berlainan daripada lemang daun pisang yang sering kita gunakan, lemang daun tebu tadi ini lebih sedap, lebih bercitarasa daripada daun pisang," kata Abdullah kepada Astro AWANI ketika ditemui.
Dalam usaha memastikan resepi lemang daun tebu ini berkembang, Abdullah menurunkannya pula kepada menantu sulungnya Amilia Abi Yaziz, 29.
Menurut Amilia, lemang daun tebu lebih cepat masak berbanding lemang daun pisang yang mengambil masa sehingga dua hingga tiga jam.
"Daun tebu ini kelebihan paling utama ialah pada buanya yang wangi serta tidak melekat pada buluh.
Kalau (lemang) daun pisang sudah biasa (ditemui) di tempat lain.
"Dan kalau nak proses buat daun pisang tidak sesusah mana pun, kita cuma kena tahu ukuran batang buluh sementara untuk daun tebu pula, kita kena buat dengan teliti dan pastikan daun tebu rapat dengan buluh supaya dia masuk cantik," katanya berkongsi teknik pembuatan lemang daun tebu.
Selain lemang daun tebu, Abdullah turut mengusahakan jualan lemang daun pisang dan lemang jagung.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Abdullah kini menjual lemang dari rumahnya ekoran mematuhi arahan kerajaan.
Katanya, setiap hari dia akan membakar lebih 200 batang lemang yang ditempah pelanggan melalui aplikasi Whatsapp dan akaun media sosial, Facebook anaknya.
Lemang daun tebu Abdullah dijual pada harga RM15 hingga RM18 mengikut saiz.
#daun pisang #daun tebu #Kampung Belukar #Kedah #lemang #lemang daun pisang #lemang daun tebu #lemang jagung #peniaga #pokok sena #Telaga Mas
;