Lelong kenderaan sita, JPJ kutip RM5.9 juta
Bernama
Mei 31, 2022 09:10 MYT
Mei 31, 2022 09:10 MYT
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM5.9 juta hasil lelongan awam melibatkan 636 kenderaan sita di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ M Janagarajan berkata proses lelongan awam yang dilakukan adalah sangat telus dan memuaskan hati semua pihak terutama pembida kerana mengikut tatacara yang ditetapkan.
"Proses lelongan di JPJ negeri adalah sangat bagus dengan kehadiran wakil pemerhati dari Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses lelongan awam di JPJ Terengganu di sini, semalam.
Sesi Lelongan Awam JPJ Terengganu Siri 1/2022 hari ini melibatkan 137 pembida dan 80 kenderaan pelbagai jenis dengan RM1.25 juta berjaya dikutip.
Sementara itu, Pengarah JPJ negeri Zulkarnain Yasin berkata daripada 80 kenderaan itu, 59 adalah kenderaan klon, 13 motosikal, kereta (empat), lori kecil (tiga) dan satu kenderaan 'pick up'.
Katanya sebuah kereta jenis Honda Integra mencatat nilai bidaan tertinggi iaitu RM44,000, manakala nilai bidaan terendah iaitu RM50 melibatkan sebuah motosikal.
-- BERNAMA