Lelaki warga Thailand didenda RM30,000, penjara miliki barang kawalan tanpa lesen sah

Bernama
Julai 29, 2024 15:49 MYT
Hakim Rohaida Ishak menetapkan Mustakem dihukum penjara lapan bulan serta denda sebanyak RM30,000 dan penjara enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut. - Gambar hiasan
IPOH: Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM30,000 terhadap seorang lelaki warga Thailand atas kesalahan memiliki barang kawalan tanpa lesen sah.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam kenyataan memaklumkan bahawa tertuduh Mustakem Paenaeh, 50, telah mengaku bersalah atas dakwaan memiliki 90 liter bahan api RON95 di dalam tangki kenderaan jenis Proton Wira, yang telah diubah suai dengan tujuan berurus niaga tanpa lesen yang sah.
Kenyataan itu memaklumkan tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 4 petang pada 19 Jun lepas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit dekat Pengkalan Hulu.
"Hasil dari pemeriksaan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak di laluan keluar Kompleks ICQS mendapati, tertuduh cuba membawa kenderaan yang berisi minyak tersebut keluar ke Thailand," menurut kenyataan berkenaan.
Lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Betong, Thailand didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Hakim Rohaida Ishak kemudian menetapkan Mustakem dihukum penjara lapan bulan serta denda sebanyak RM30,000 dan penjara enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya KPDN Hasyutantee Khalil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
#kpdn #RON95 #Mahkamah Sesyen #penjara