Lelaki warga Singapura koma MPV jatuh gaung
Sinar Harian
Mac 16, 2024 17:18 MYT
Mac 16, 2024 17:18 MYT
KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Singapura koma selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dipandunya jatuh gaung sebelum masuk ke dalam hulu Sungai Sedili di Jalan Kota Tinggi - Mersing, Felcra Sungai Ara dekat sini pada Jumaat.
Insiden tersebut mengakibatkan mangsa, Christopher Lim Teck Whye, 49, tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan MPV tenggelam separuh dalam sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu seorang diri terbabas sendiri ketika kejadian pada jam 4.24 petang.
"Mangsa ketika ini koma dan keluarganya sedang menguruskan untuk membawanya pulang ke Singapura.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
"Mangsa tersepit di bahagian pemandu dan pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa serta memberi rawatan awal kepadanya.
"Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya. Operasi selesai pada jam 5.42 petang," ujar beliau. -Sinar Harian