Lelaki warga Singapura hilang dipukul ombak di Desaru

Bernama
Disember 27, 2023 20:20 MYT
Menurut maklumat orang awam, kedua-dua beranak dilaporkan dipukul ombak ketika beriadah di gigi air sebelum dihanyutkan. - JBPM
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri hilang manakala anaknya terselamat selepas hanyut dipukul ombak di Pantai The Westin Desaru Coast, Kota Tinggi tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata mangsa dikenali sebagai Isaac Kelvin Tan Lee Thong, 49, manakala anak lelakinya ialah Gabriel Ian Tan Way Ping, 16.
Beliau berkata menurut maklumat orang awam, kedua-dua beranak dilaporkan dipukul ombak ketika beriadah di gigi air sebelum dihanyutkan.
"Selepas kejadian itu, lelaki tersebut telah hilang dan masih belum dijumpai manakala anaknya berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian.
"Lokasi kejadian tersebut sebelum ini telahpun dikibarkan bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti di pantai berikutan faktor cuaca," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Masri berkata operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan PKO menggunakan teknik pencarian di permukaan air.
Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima panggilan pada 12.33 tengah hari dan sejumlah 17 anggota dari BBP Penawar, Sungai Rengit serta Mersing bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
-- BERNAMA
#Desaru #warga singapura #dihanyut ombak #bomba
;