Lelaki warga Nigeria maut terjatuh dari tingkat 13 kondominium

Bernama
Mac 12, 2018 16:31 MYT
Seorang lelaki warga Nigeria yang berada di dalam rumah cuba melarikan diri dan dipercayai terjun dari tingkat 13 kondominium. - Gambar hiasan
Seorang lelaki warga Nigeria maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium di Desa Aman Puri, Gombak, pada Ahad ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada polis.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata ketika kejadian, polis melakukan serbuan ekoran laporan seorang wanita berusia 58 tahun yang kerugian sebanyak RM13,200 akibat kes penipuan 'parcel scam'.
Beliau berkata dalam serbuan di kondominium itu pada 12.30 tengah malam, polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan seorang wanita rakyat Filipina sebelum menyerbu sebuah lagi unit di kondominium berkenaan, kira-kira sejam selepas itu.
"Polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Filipina, namun seorang lagi lelaki warga Nigeria yang berada di dalam rumah tersebut cuba melarikan diri dan dipercayai terjun dari tingkat 13 kondominium," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, pada Isnin.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh kad debit, lapan telefon bimbit dan lima komputer riba.
Hasil siasatan polis mendapati tiga suspek menggunakan pas pelajar manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial dan kesemua mereka yang berumur lingkungan 30 hingga 34 tahun direman sehingga 24 Mac bagi membantu siasatan, katanya.
Mengulas lanjut mengenai kes penipuan itu, Ali berkata mangsa mengenali suspek melalui media sosial sebelum lelaki terbabit mendakwa telah menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa, namun ditahan Jabatan Kastam.
Beliau berkata suspek kemudian memujuk mangsa membuat bayaran sebanyak RM13,200 melalui beberapa transaksi bank sebagai bayaran pelepasan kepada pihak Kastam bagi hadiah itu.
Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada Januari lepas.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan statistik pada 2016 sehingga awal tahun ini, pihak IPD Gombak telah membuka sebanyak 84 kertas siasatan berhubung kes 'parcel scam' dengan nilai kerugian sebanyak RM531,660.
-- BERNAMA
#Ali Ahmad #bungkusan #Filipina #Gombak #hadiah #jatuh #kastam #kondominium #mangsa #maut #Nigeria #serbuan #suspek #transaksi