Lelaki warga Kanada didenda RM800 tunjuk isyarat lucah, tak pakai pelitup muka
Bernama
April 26, 2022 15:24 MYT
April 26, 2022 15:24 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Kanada didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan sebuah pasar raya dan tidak memakai pelitup muka, dua minggu lepas.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Theberge Travis Lee, 44, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda.
Tertuduh didenda RM100 atau sehari penjara untuk pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua dia didenda RM700 atau dua minggu penjara. Lelaki itu membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Travis Lee didakwa melakukan perbuatan kurang sopan dengan menunjukkan isyarat jari tengah kepada Padam Giri dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini, pada 9.30 malam, 16 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa tidak memakai pelitup muka di pasar raya berkenaan yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022.
Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa dan tarikh yang sama boleh dihukum di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2022, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Peguam Jayananda Rao memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas baru sahaja bekerja di negara ini dan perlu menanggung tiga kakaknya yang berada di Kanada.
"Anak guam saya memohon maaf dan kesal atas tindakannya yang melulu itu serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi," katanya menambah ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Nasuha Safian memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Pada 17 April lepas, tular sebuah video berdurasi 18 saat dimuat naik dua pemilik akaun TikTok memaparkan tindakan agresif lelaki itu terhadap pengawal keselamatan di pasar raya berkenaan.
-- BERNAMA