Lelaki warga Israel didakwa miliki senjata mengaku tidak bersalah

Faida Rahim
April 12, 2024 08:30 MYT
Suspek, yang memakai kemeja-T hitam dan berseluar khakis, tiba tepat jam 8.15 pagi di lobi utama kompleks mahkamah. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lelaki warga Israel, Shalom Avitan, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 158 peluru, pada Mac lalu mengaku tidak bersalah.
Lelaki yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu juga minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.
“Saya faham tuduhan, tidak bersalah,” katanya ringkas.
Mengikut pertuduhan, Avitan didakwa memiliki enam senjata api dan peluru berkenaan pada 26 hingga 28 Mac lalu di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang.
Avitan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Avitan dibawa masuk ke bilik Mahkamah pada jam 9.30 pagi dan dikawal ketat empat anggota polis memakai penutup muka.
Lelaki berusia 38 tahun ini tiba kira-kira jam 8 pagi dibawa menggunakan kenderaan polis dikawal ketat beberapa anggota sebelum dibawa masuk ke dalam kompleks mahkamah.
Avitan memakai kemeja-T hitam dan berseluar khakis tiba di lobi utama kompleks Mahkamah dan diiringi sekitar 20 pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kawalan ketat.
Hakim Tasmin Abu Bakar tidak membenarkan ikat jamin Avitan dan menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam memberitahu perbicaraan pada pagi tadi berjalan dengan lancar dan beliau tidak boleh memberi sebarang maklumat lanjut.
#warga Israel #Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur #kawalan ketat #pistol
;