Lelaki warga Indonesia mengaku salah miliki gading gajah

Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Januari 21, 2020 19:30 MYT
Hakim menetapkan 25 Februari depan bagi sebutan semula kes selepas tidak berpuas hati dengan tahap pemahaman Bahasa Melayu tertuduh. - Astro AWANI
Seorang warga Indonesia mengaku salah di Mahkamah Sesyen, pada Selasa, kerana memiliki dua batang gading gajah Borneo tanpa permit di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran pada Oktober tahun lalu.
Supriadi Juman, 49 tahun, yang bekerja sebagai pekerja ladang membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya.
Bagaimanapun, Hakim Indra Ayub menetapkan 25 Februari depan bagi sebutan semula kes selepas tidak berpuas hati dengan tahap pemahaman Bahasa Melayu tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut pertuduhan kes, Supriadi didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 97S Ladang Bimbangan 2, Industrial Oxygen Incorporated Sdn Bhd, Beluran kira-kira 1 petang pada 23 Oktober tahun lalu.
Pekerja ladang itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun.
Terdahulu, tertuduh ditangkap pada 25 Oktober tahun lalu.
Perdakwaan berkenaaan merupakan yang pertama dilakukan sejak penemuan gading gajah pada 23 Oktober tahun tahun lalu.
#gading gajah #gajah Borneo #haiwan terlindung #hidupan liar #Hukuman #mahkamah #undang-undang
;