Lelaki warga Indonesia maut ditikam sehingga isi perut terburai
Astro Awani
November 24, 2014 18:24 MYT
November 24, 2014 18:24 MYT
Seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam hingga menyebabkan isi perutnya terkeluar.
Mangsa dikenali sebagai Al-Amin, 30 ditemui terbaring berlumuran darah di pusat beli belah Angsana Mall, Ipoh dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Mangsa ditemui di tingkat satu pusat beli belah tersebut kira-kira 5.30 petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa rakannya ke premis terbabit untuk sesi karaoke.
Mereka kemudiannya didatangi sekumpulan 10 hingga 15 lelaki warga Indonesia sebelum berlaku pertengkaran hingga menyebabkan pergaduhan.
Mangsa kemudian dipercayai dibelasah sebelum ditikam dengan senjata tajam.
Motif kejadian masih disiasat.