Lelaki warga Indonesia antara 10 ditahan dalam Op Samseng Jalanan
Bernama
Jun 21, 2020 11:50 MYT
Jun 21, 2020 11:50 MYT
Seramai 10 lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Bypass Port Dickson di sini, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam operasi yang dijalankan selama empat jam bermula pukul 1 pagi itu, kesemua individu yang berusia 17 hingga 24 tahun itu ditahan kerana kesalahan bersaing sesama sendiri dan memotong antara satu sama lain.
"Mereka juga didapati membuat aksi mengangkat tayar hadapan, melanggar lampu isyarat merah dan membuat pusingan 'U' beberapa kali mulai lampu isyarat Kampung Arab hingga lampu isyarat Kampung Paya.
"Lelaki Indonesia yang ditahan telah datang ke Port Dickson bersama-sama kawannya untuk bersiar-siar namun didapati terlibat dengan kegiatan lumba haram," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aidi Sham berkata antara yang ditahan bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori, pengawal keselamatan serta pelajar institut pengajian tinggi.
"Mereka akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan reman. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.
-- BERNAMA
#Aidi Sham Mohamed
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#APJ 1987
#haram
#Indonesia
#keselamatan
#lelaki
#mahkamah
#Op Samseng Jalanan
#operasi
#pelajar
#polis
#Port Dickson
#reman
#Seremban
#siasatan
#warga Indonesia