Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran rumah
Aida Aziz
Oktober 12, 2020 08:36 MYT
Oktober 12, 2020 08:36 MYT
TELUK INTAN: Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun rentung dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan Selat, dekat sini pada awal pagi ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Tan Ah Lang @ Tan Ah Leng ditemukan di atas katil di bahagian tengah rumahnya pada jam 6.30 pagi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi.
Mereka turut mendapat bantuan dari anggota BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah, sebuah rumah berkeluasan 30x25 kaki terbakar 90 peratus.
"Manakala sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 20x70 kaki terbakar 10 peratus.
"Seorang lelaki berusia maut dalam kebakaran itu, mangsa dijumpai di atas katil di bahagian tengah rumah tersebut.
"Dipercayai, warga emas itu juga dikatakan kurang sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, sehingga kini operasi pemadaman masih berjalan.