Lelaki warga emas maut dalam kebakaran di Klang
Bernama
April 10, 2024 11:20 MYT
April 10, 2024 11:20 MYT
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas maut manakala adiknya terselamat dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah Kelas C di Jalan Kereta Api Lama, Batu 9, Klang, Selangor, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 10.26 malam.
Beliau berkata, setelah api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.23 malam, anggota bertugas telah menemukan satu mayat berusia 79 tahun rentung di bawah timbunan kayu di lokasi kejadian
"Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus dan terdapat seorang mangsa lain yang juga lelaki warga emas telah dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk dikawal itu melibatkan kekuatan 15 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Sungai Pinang dan BBP Kota Raja.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA